Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Saturday, April 4, 2009

Palestin mesti kaji semula perbincangan dengan zionis

Khamis, 02/04/2009 - Kerajaan Palestin yang diketuai oleh Ismail Haneyya menganggap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Zionis, Benjamin Netanyahu dan Menteri Luarnya, Lieberman mengenai ketidak sungguhan mereka untuk mengadakan perjanjian damai kekal dengan Palestin dan keinginan mereka untuk membatalkan perjanjian-perjanjian lalu dengan pihak berkuasa Palestin serta keengganan mereka untuk memberikan komitmen kepada resolusi-resolusi sidang Annapolis, merupakan suatu perkara yang sepatutnya menjadi pertimbangan pihak pimpinan kerajaan Palestin yang terlibat dalam perbincangan untuk mengkaji semula pendirian mereka.

Yusuf Rizqah, penasihat Perdana Menteri berkata dalam satu kenyataan khas yang dikeluarkan kepada Pusat Media Palestin pada Rabu (1/4), “kami suka untuk memberikan peringatan tentang keperibadian dan ideologi melampau yang dianuti Lieberman. Beliau amat fanatik dengan fanatik yang tidak sihat serta menafikan hak orang lain dan berusaha untuk memusnahkan rakyat Palestin serta menafikan hak mereka sepenuhnya.

Dunia hari ini juga telah mendengar bahawa dia hanya mengiktiraf pelan ‘jalan damai’ dengan menolak segala pelan-pelan damai yang lain sebelum ini.” Perkara ini sepatutnya menuntut pimpinan Palestin yang terlibat dalam perbincangan agar mereka mengkaji semula pendirian mereka serta mengambil langkah perlu bagi mengelakkan daripada terlibat dalam apa yang dinamakan sebagai perbincangan yang sia-sia dan tidak mendatangkan apa-apa faedah dengan pihak zionis.

Beliau turut menjelaskan adalah amat ketara bahawa kenyataan-kenyataan Lieberman dibuat dengan rasa bongkak dengan menyifatkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Olmert semasa berbincang dengan Arab dalam pelbagai isu sebagai mainan dan sia-sia sahaja.

sumber : http://palestinkini.info/?page_id=2


penterjemah : muhajir


-------------------------------------------------------------------------



Kerajaan Haneyya hargai peranan Mesir

Jumaat, 03/04/2009 - Kerajaan Palestin yang diketuai oleh Ismail Haneyya menyatakan penghargaannya terhadap peranan Mesir yang menaungi dialog nasional Palestin dan menyeru semua pihak yang berdialog untuk meneguhkan pendirian Palestin, memelihara prinsip-prinsip nasional dan menolak tekanan-tekanan luar, terutamanya syarat-syarat zalim yang diletakkan oleh jawatankuasa empat pihak (Amerika, Kesatuan Eropah, Russia dan Cina).

Jurucakap rasmi kerajaan Palestin, Tahir al-Nunu berkata dalam kenyataan akhbar pada Khamis (4/2) yang diterima oleh Pusat Media Palestin, “kami menganggap mana-mana seruan untuk membuat pengguguran terhadap mana-mana kepentingan politik dengan slogan ‘realiti’ atau lainnya, sedangkan pihak zionis sentiasa tidak menghiraukan hak-hak rakyat kita, bahkan tidak menghiraukan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani oleh PLO, adalah satu tindakan sia-sia dan memusnahkan kepentingan rakyat kita dan isu nasionalnya, serta membuka peluang kepada penguasaan Zionis-Amerika di rantau ini.

Kenyataan kerajaan Palestin ini dikeluarkan selepas kegagalan pusingan rundingan yang berlangsung sekarang di Kaherah yang sepatutnya mencapai persetujuan yang boleh menamatkan perpecahan di kalangan pejuang Palestin.

sumber : http://palestinkini.info/?page_id=2
penterjemah : muhajir


------------------------------------------------------------



Najib dapat restu jadi PM


Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

Beliau dalam satu kenyataan, berkata, istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Najib di hadapan Seri Paduka Baginda akan diadakan di Istana Negara 10 pagi ini (4hb. April. 2009).

Pagi semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri, selaras dengan proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang dirancang sebelum ini.

Abdullah tiba pada 10 pagi dengan menaiki Proton Perdana rasminya bernombor WCH 13 dan meninggalkan kawasan istana satu jam kemudian sambil melambai-lambai ke arah sekumpulan 70 petugas media termasuk wartawan asing yang berkumpul di situ sejak 7.30 pagi.

Najib, yang mengambil alih jawatan Presiden UMNO daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung UMNO minggu lepas, turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, selepas istiadat menghadap oleh Abdullah.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 30 Oktober 2003.

Sementara itu, Abdullah turut menghadiri majlis perpisahan yang diadakan di Kementerian Pertahanan petang semalam.

Abdullah, yang juga Menteri Pertahanan, memeriksa barisan kawalan kehormat Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Norhisyam Kamar dan dianggotai 103 pegawai serta anggota pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia.

Sumber: Kosmo! Online